Tuesday, August 10, 2010

Bulan Ramadhan

Sunnah Berbuka Puasa

Dalam Sunnah, kita disunatkan berbuka puasa dengan rutab, jika tidak ada dengan tamar, jika tidak ada dengan air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Manakala tamar ialah buak kurma yang sudah kering. Setengah menganggap jika ada air zamzam itu lebih baik. Sebenarnya, dakwaan seperti ini tidak berteraskan hadis.

Dari Anas katanya:
"Bahawa Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air."
(Riwayat al-Imam Ahmad dan at-Tirmizi,ad-Diya al-Maqdis menilai hadis ini sahih)

Sahur

Sesetengah daripada kita akan berhenti memakan sahur apabila dia melihat jadual waktu imsak yang disebarkan oleh kebanyakan pihak. Jadual itu lebih awal daripada masuknya waktu solat subuh. Padahal al-Quran menyebut:
Maksudnya:
"Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih daripada benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam."
(surah al-Baqarah 2:187)

Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, Nabi SAW menyebut dengan jelas:

"Makan dan minumlah sehingga azan oleh Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar(subuh)."

Apabila masuk waktu solat subuh, bererti waktu sahur berakhir. Bahkan dalam hadis Abu Daud dan Ahmad, Baginda memberikan kelonggaran yang lebih luas untuk umatnya. Baginda bersabda:

"Apabila seseorang daripada kamu mendengar azan, sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya."
(Dinilai sahih oleh al-Albani)

Baginda tidak menyuruh supaya seseorang meludah atau memuntahkan apa yang ada di dalam mulut apabila mendengar azan.

Makan Dahulu

Dalam hadis disebut:

"Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengan makanan sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Baginda SAW bersabda:

"Apabila dihidangkan makan malam oleh seseorang kamu, sedangkan solat (jemaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tujuan hadis ini agar tidak diganggu oleh ingatan kepada makanan. Makanlah dengan sederhana kemudian bersolatlah. Namun, ramai antara kita yang apabila hidangan berbuka puasa terhidang dihadapan matanya dan keinginannya pula tinggi, lalu dia meninggalkan hidangan dan pergi menunaikan solat dengan hati yang tidak fokus. Seakan itu petunjuk agama.

Sebenarnya petunjuk Nabi SAW bukan demikian. Baginda lebih memahami jiwa insan. Kata Imam al-Nawawi (meninggal 676H):

"Dalam hadis-hadis tersebut menunjukkan dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk."
(an-Nawawi, Syarh Sahih Muslim.4/208,Beirut:Dar al-Khair)

Apa yang ingin dijelaskan, betapa pentingnya agama ini dibina di atas dalil. Sesiapa sahaja yang berbicara tentang agama, sehebat mana pun dia, mintaklah dia kemukakan dalil syarak. Agar agama tidak menjadi jualan murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk mewakili Allah dan Rasul-Nya tanpa bukti.
- Rujuk buku Mengemudi Bahtera Perubahan Minda, karya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, ms. 112-114.

Kekeliruan Tentang Solat Tarawih: